Home English News Anwar ulangi tiada isu antara Dr Mahathir dan beliau berhubung peralihan kuasa

Anwar ulangi tiada isu antara Dr Mahathir dan beliau berhubung peralihan kuasa

227
0
SHARE

KUALA LUMPUR — Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan bahawa tidak ada isu timbul antara  Perdana  Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan beliau berhubung soal peralihan jawatan nombor satu negara.

Dalam satu kenyataan hari ini Anwar berkata beliau  menyedari  wujud spekulasi meluas tentang beliau mengambil alih  kuasa daripada Dr Mahathir yang disebut-sebut  dalam laporan kurang tepat dalam media arus  perdana dan sosial hingga  mencetuskan persepsi konon wujud konflik dalam kepimpinan.

“Saya ingin menegakkan rekod dan mengulangi bahawa tidak ada apa isu pun antara Tun (Dr Mahathir) dan saya berhubung  peralihan kuasa.

“Kami telah bersetuju mengenai proses dan rancangan peralihan  dan perkara ini juga diselesaikan dalam  Pakatan Harapan (PH),” kata beliau.

Anwar menyatakan selepas pertemuannya dengan Dr Mahathir  Rabu lepas, beliau menegaskan  pendirian konsistennya agar Dr Mahathir diberikan ruang dan sokongan untuk memimpin kerajaan.

“Kepimpinan PH mesti terus fokus terhadap isu-isu mendesak  untuk menghapus kesulitan ekonomi rakyat, melakukan pembaharuan institusi dan membawa ke muka pengadilan  mereka yang merompak wang rakyat.

“Saya sokong penegasan Perdana Menteri (Dr) Mahathir  bahawa kerajaan PH adalah kukuh. Kami bekerja bersungguh-sungguh untuk menunaikan janji-janji kami kepada rakyat  Malaysia sebagai sebuah kerajaan yang mewakili  semua  dan menolak segala bentuk umpan perkauman dan hasutan dengan tujuan mencetuskan kebencian dan keganasan,” kata Anwar.

Beliau menjelaskan sekalipun banyak telah dicapai, cabaran yang mendatang adalah berat dan memerlukan kerja berpasukan dan perpaduan dalam PH.

“Kami sedar terdapat kumpulan yang mahu melihat kami gagal. Saya menggesa kepimpinan agar sentiasa waspada terhadap kumpulan ini yang lebih suka melihat kemunculan kembali ‘rentier culture’ dan percubaan mereka untuk menyorok kekayaan negara hingga keadilan sosial dan kebajikan rakyat musnah,” kata beliau.

— BERNAMA

Comments