Home English News Jabatan Peguam Negara fail permohonan berhubung harta dirampas dari Najib, Rosmah dan...

Jabatan Peguam Negara fail permohonan berhubung harta dirampas dari Najib, Rosmah dan 16 lagi

1385
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR:  Jabatan Peguam Negara telah menfailkan notis  usul berhubung pelucutan hak terhadap ratusan beg tangan pelbagai jenama, wang tunai pelbagai mata wang asing, jam tangan dan 27 buah buah kereta yang dirampas dari bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, tiga anak mereka dan 13 individu serta syarikat.

Notis usul itu difailkan semalam di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah, di sini, menamakan pendakwa raya sebagai pemohon dan 18 individu serta syarikat selaku responden-responden.

Dalam notis usul itu Pendakwa Raya memohon suatu perintah  daripada Mahkamah Tinggi supaya disiarkan satu notis dalam warta di bawah Seksyen 61(2) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Daripada  Aktiviti Haram 2001, bagi memanggil semua pihak ketiga yang menuntut apa-apa kepentingan dalam harta yang dirampas  daripada semua responden untuk hadir atau melalui peguam di hadapan Mahkamah Tinggi pada tarikh yang akan ditetapkan.

#TamilSchoolmychoice

Ini bagi pihak ketiga menunjukkan sebab mengapa harta-harta itu tidak harus dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia.

Pendakwa Raya menamakan Najib sebagai responden pertama diikuti Rosmah, Riza Shahriz Abdul Aziz, Nor  Ashman  Razak  Mohd  Najib,  Nooryana  Najwa  Mohd  Najib,  Mohd  Kyizzad  Mesran,  Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Yayasan  Rakyat 1Malaysia,  Yayasan  Semesta,  Yayasan  Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe, Ng  Chong  Hwa, Lim Hwee Bin, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan |Geh  Choh Hun sebagai responden kedua hingga ke-18.

Pendakwa Raya juga memohon perintah lain yang difikirkan adil, munasabah oleh mahkamah.

Alasan permohonan itu adalah bahawa Pendakwa Raya bertindak mengikut kuasa-kuasa yang diberi di bawah Seksyen  56(1) dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah telah berpuas hati harta yang disita oleh pegawai penyiasat  polis  antara 17 Mei 2018 hingga 11 Mac 2019  adalah berhubung dengan pelakuan suatu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) atau hasil daripada aktiviti haram melibatkan responden-responden.

Permohonan itu juga turut disokong oleh afidavit yang diikrarkan Timbalan Pendakwa Raya dan dua pegawai penyiasat polis pada 6 Mei 2019.

Antara barangan yang disita itu ialah, 52 buah beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM537,000, Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750, Pound Sterling 320,500, Rupiah 13,177,00, USD100, Hryvnies (Ukraine) 376, Euro 20, France 50, South African 10 Rand, Singapore Dollar 40, Riyal 531, Phillipines Peso 740 dan Ringgit Malaysia 21,150 (wang baru) yang disita pada 17 Mei 2018.

Barangan lain yang disita pada tarikh sama (17 Mei 2018) ialah empat utas jam tangan pelbagai jenama, empat buah beg tangan pelbagai saiz dan jenama, 167 buah beg tangan pelbagai jenama dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta 40 buah beg tangan pelbagai jenama turut disita pada 11 Jun 2018.

Sebanyak 27 buah kereta jenis model Nissan Urvan turut disita  pada 2 Ogos 2018.

Selain itu, wang berjumlah lebih RM18 juta dan apa-apa faedah ke atasnya turut disita dalam beberapa akaun di Bank Islam Malaysia Berhad, Al-Rajhi Bank Berhad, Malayan Banking Berhad, CIMB Bank Berhad, RHB Bank Berhad, Public Bank Berhad, AmBank Berhad dan Hong Leong Bank Berhad antara 16 Ogos 2018 dan 11 Mac 2019.

Turut dirampas satu unit hartanah di Mukim Bandar Tanjong Bungah, Pulai Pinang milik responden ke-13 pada 17 Jan tahun ini.

– BERNAMA