Home English News SRC bertegas pinda tujuan pinjaman wang KWAP

SRC bertegas pinda tujuan pinjaman wang KWAP

99
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa syarikat SRC International Sdn Bhd bertegas untuk membuat pindaan mengenai tujuan pinjaman kedua berjumlah RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada 2012.

Bekas Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Pinjaman Pasaran Kewangan dan Aktuari, Kementerian Kewangan, Datuk Maliami Hamad, 65, berkata dalam perjanjian yang ditandatangani sebelum ini, tujuan pinjaman dinyatakan sebagai pelaburan am dan modal kerja.

Saksi pendakwaan ke-43 itu berkata, SRC International kemudian membuat pindaan dengan memasukkan modal pusingan.

“Apa yang saya pasti adalah kami menghadapi masalah untuk mengeluarkan surat jaminan kerana surat jaminan dan terma perjanjian pinjaman dana mestilah sama.

“Dalam perjanjian yang ditandatangani, terma itu adalah untuk pelaburan am dan modal kerja, jadi ia menjadi masalah kerana SRC International masih tegas nak masukkan modal pusingan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Najib, Farhan Read, pada hari ke-34 perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Katanya, masalah itu berterusan sehingga pihaknya membuat pindaan dalam tujuan kegunaan dana melalui Memorandum Jemaah Menteri (MJM).

“Apabila Jemaah Menteri lulus, barulah kita boleh buat keputusan. Berdasarkan MJM itu, SRC International bertegas masukkan modal pusingan dalam tujuan pinjaman mereka,” katanya.

Saksi itu turut disoal oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sama ada beliau pernah memaklumkan Timbalan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Afidah Azwa Abdul Aziz bahawa SRC adalah milik Najib.

“Mungkin dia menggunakan bahasa percakapan dia (ketika memberi keterangan di mahkamah)… tetapi maksud saya, SRC adalah syarikat di bawah perhatian Najib,” katanya.

Sebelum ini, Afidah Azwa yang juga saksi ke-40 pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa Maliami memaklumkannya bahawa SRC adalah milik Najib.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

— BERNAMA

Comments