Oleh R. Thivyamalini
TANAH RATA — Sorakan syukur ‘Ponggalo Ponggal’, signifikan untuk sambutan Hari Ponggal, memecah keheningan pagi di bumi sejuk Cameron Highlands hari ini.
Dengan suhu sejuk yang berubah-ubah antara 15 dan 18 Celcius, kita-kira 200 masyarakat India tempatan telah berkumpul seawal 7.30 pagi di Kuil Sri Subramaniyar di sini untuk bersama-sama meraikan sambutan Hari Ponggal, antara perayaan terpenting kaum India.
Tidak ketinggalan pelajar India dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah yang diberi pelepasan hampir empat jam untuk turut serta dalam sambutan Ponggal dan juga pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Tanah Rata yang memenuhi perkarangan kuil.
Kesemua mereka sabar menanti limpahan susu dari periuk belanga tanah liat, yang dimasak oleh pengurusan kuil, yang akhirnya melimpah pada tepat 8.55 pagi diiringi sorakan ‘Ponggalo Ponggal’.
Sejurus itu, sambutan itu turut dimeriahkan dengan acara memasak Ponggal oleh masyarakat tempatan dan juga pelajar sekolah.
Masyarakat India hari ini meraikan pesta Ponggal yang jatuh pada bulan ke-10 dalam kalendar Tamil yang dikenali sebagai ‘Thai Matham’ bersempena dengan bulan menuai hasil tanaman di India.
Secara tradisinya, masyarakat India akan menyediakan nasi Ponggal (nasi manis) pada hari sambutan itu untuk dipersembahkan kepada Dewa Matahari.
Penganut Tamil juga percaya kedatangan bulan ‘Thai’ akan membawa tuah dan sinar harapan baharu supaya mereka dapat hidup dalam keadaan tenang sepanjang tahun, selain dianggap sebagai hari kesyukuran kepada Tuhan kerana memberi rezeki yang sempurna.
Bernama berkesempatan menemui R.Kathigasu, 55, pengusaha sayuran generasi ketiga yang berkata sambutan Ponggal antara perayaan penting yang ditunggu-tunggu masyarakat India di Cameron Highlands.
“Golongan petani macam kami sangat menghargai tanah dan alam sekitar. Tanpa tanah yang subur dan sumber alam sekitar serta cahaya matahari, kami tidak mungkin dapat melangsungkan kehidupan. Kami amat percaya bahawa sekiranya kita berbudi kepada tanah, pasti akan ada hasilnya. Dan Ponggal adalah satu salah tanda kesyukuran,” katanya.
Kathigasu berkata hampir 70 peratus masyarakat India di sini adalah golongan petani, meneruskan legasi keluarga bercucuk tanam tanpa penghijrahan ke bandar raya untuk mencari peluang pekerjaan namun terdapat beberapa kekangan yang mengundang resah dalam kalangan petani.
“Isu tanah yang berstatus tanah pemilikan sementara (TOL) merupakan masalah terbesar yang kami hadapi. Perkara ini sebenarnya membantutkan idea kami untuk mengembangkan pertanian ke peringkat lebih tinggi. Ia menjadi harapan kami untuk kemelut ini selesai segera dan dengan kelahiran Bulan Thai, diharap ada sinar baharu dalam kehidupan,” katanya yang juga anggota Persatuan Pekebun Kecil India Cameron Highlands.
Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH) M. Manogaran yang hadir menyertai sambutan turut menitipkan ucapan Selamat Hari Ponggal kepada semua lapisan masyarakat India.
“Persekitaran sini amat penting kepada golongan petani dan sambutan Ponggal amat dekat di hati mereka. Ponggal merupakan titik permulaan baharu bagi kita meninggalkan elemen negatif dan meraikannya dengan penuh kesyukuran. It’s a thanksgiving ceremony (ia upacara kesyukuran).
“Diharap ikatan kekeluargaan dieratkan, kepentingan hubungan tersebut dititikberatkan kerana bermulanya dari keluarga, ikatan itu akan membentuk masyarakat harmoni dan seterusnya negara yang aman damai. Selamat Hari Ponggal,” katanya.
— BERNAMA