GEORGE TOWN — Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengakui DAP akan berdepan dengan perlawanan sengit pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, 26 Jan ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kelebihan sudah tentu berpihak kepada penyandang kerusi itu iaitu MIC memandangkan parti itu memegang kerusi Parlimen berkenaan sejak sekian lama.
“Kerusi ini tidak pernah dimenangi oleh Pakatan Harapan atau parti DAP. Memang ini satu perlawanan yang sengit. Sungguh pun kelebihan kepada MIC kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencipta sejarah memenangi kerusi Cameron Highlands supaya rakyat dapat rasai hasil ekonomi dan pembangunan yang lestari.
“Kita tak mahu pembangunan semata-mata, kita mahu pembangunan yang lestari khususnya di kawasan hijau seperti Cameron Highlands,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek naik taraf lif Perumahan Kastam Bukit Gelugor, di sini hari ini.
Ditanya mengenai calon, Lim berkata Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti akan bermesyuarat pada minggu ini bagi membincangkan calon yang akan bertanding pada PRK itu dan pihaknya akan membuat pengumuman selepas itu.
“Saya akan maklumkan kerana kita pun nak buat persiapan juga,” katanya.
Pada 4 Jun lepas, calon DAP M. Manogaran memfailkan petisyen memohon perisytiharan bahawa keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang disandang Datuk C. Sivarraajh dari MIC terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Berikutan itu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan pilihan raya berkenaan terbatal.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 28 Dis lepas mengesahkan Sivarraajh yang merupakan Naib Presiden MIC itu tidak layak bertanding dalam PRK berkenaan yang bakal diadakan pada 26 Jan ini.
Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran dan tiga calon lain.
— BERNAMA