Home English News Wanita Vietnam dipenjara 3 tahun 4 bulan, cederakan Kim Chol

Wanita Vietnam dipenjara 3 tahun 4 bulan, cederakan Kim Chol

1086
0
SHARE
Ad

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi  hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun empat bulan ke atas Doan Thi Huong selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam menggunakan racun VX,  di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2)  dua tahun lepas.

Hakim Datuk Azmi Ariffin ketika menjatuhkan hukuman tersebut ke atas wanita warga Vietnam berkenaan turut memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 15 Feb 2017.

Dalam penghakimannya, beliau berkata  tertuduh yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik bernasib baik kerana pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan alternatif yang hanya membawa hukuman penjara 10 tahun berbanding pertuduhan asal iaitu membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

#TamilSchoolmychoice

“Saya memutuskan ada kes prima facie dan memerintahkan kamu membela diri. Jika perbicaraan berlangsung, kamu mungkin boleh dilepaskan dan dibebaskan pada peringkat membela diri jika kamu dapat menimbulkan keraguan munasabah. Sejujurnya saya rasa kamu harus berterima kasih kepada Peguam negara dan Pendakwa Raya yang menawarkan pertuduhan alternatif,” katanya.

Doan, 30, yang berdiri di kandang tertuduh  mengucapkan terima kasih kepada hakim, peguam dan semua yang terlibat  dalam bahasa Vietnam yang diterjemahkan oleh jurubahasa.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara, mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya, peguam,  Kedutaan Vietnam dan pihak media sepanjang kes ini berjalan,” katanya.

Hakim kemudian berkata: “Kamu akan pulang ke pangkuan keluarga kamu tidak lama lagi.”

Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan bermula dari tarikh anak guamnya ditangkap kerana ia adalah kesalahan pertama tertuduh di negara ini selain  tertuduh juga kesal dengan perbuatannya itu.

“Tertuduh meringkuk dalam penjara sejak ditahan pada 15 Feb 2017. Anak guam saya juga tidak bertanggungjawab atas apa yang berlaku pada hari kejadian itu,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Iskandar Ahmad memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kesalahan itu yang berlaku di tempat awam iaitu di kila2.

“Saya memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam dalam kes ini,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Doan  bersama empat lagi yang masih bebas didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas Kim Chol dengan menggunakan bahan yang berbahaya kepada tubuh badan apabila dimasukkan ke dalam saluran darah iaitu cecair racun VX di Balai Berlepas klia2 pada 9 pagi, 13 Feb 2017.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua  daripada seksaan itu.

Sepatutnya hari ini Doan membela diri atas pertuduhan membunuh, namun pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan alternatif kepadanya.

Muhammad Iskandar memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak  pembelaan  telah  mengemukakan representasi kedua supaya Jabatan Peguam Negara mengkaji pertuduhan membunuh yang dihadapi Doan.

‘Oleh itu pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan terhadap tertuduh,” katanya.

– BERNAMA