Home English News Kerajaan Kedah komited capai sifar rasuah, mahu jadi negeri contoh!

Kerajaan Kedah komited capai sifar rasuah, mahu jadi negeri contoh!

1135
0
SHARE
Ad

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah komited ke arah mencapai sifar rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri dan mahu menjadi contoh amalan pentadbiran yang bersih, telus dan efisien di negara ini.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, sehubungan itu, Kedah menjadi negeri pertama yang melaksanakan Sistem Pengurusan Anti Rasuah MS ISO 37001:2016 yang dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mac lepas.

“Melalui pelaksanaan sistem kualiti ini, setiap proses kerja diteliti dan dinilai sama ada boleh menyebabkan berlakunya unsur-unsur rasuah atau penyelewengan kuasa,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Mesyuarat Keempat Penggal Pertama DUN Ke-14 di sini, hari ini.

#TamilSchoolmychoice

Beliau menjawab soalan Muhammad Sanusi Md Nor (PAS-Jeneri) yang ingin tahu mengenai dasar-dasar baharu kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam mencapai sifar rasuah.

Katanya jika didapati terdapat ruang yang berkemungkinan boleh menyebabkan berlakunya perkara-perkara berkaitan rasuah dan salah guna kuasa, proses kerja akan diubah mengikut kesesuaian, sehingga mendapat pensijilan kualiti MS ISO 37001:2016.

Menurut Mukhriz, setakat ini kerajaan negeri sudah menerima kunjungan dari negeri-negeri lain untuk mencontohi kaedah pengurusan rasuah yang diamalkan itu.

Sementara itu, dalam usaha meningkatkan hasil kerajaan negeri, Mukhriz berkata pelbagai bengkel bagi membincangkan tentang kaedah dan sumber yang sesuai dikenakan hasil telah diadakan.

“Selain itu, bengkel untuk mempelbagaikan hasil-hasil hutan yang boleh diperoleh tanpa melibatkan penebangan hutan turut diadakan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga memohon kepada kerajaan Persekutuan agar mempertimbangkan bayaran ganti rugi khas ke atas kerugian yang terpaksa ditanggung kerajaan negeri kerana tidak dapat mengusahakan kawasan tertentu untuk tujuan komersial.

“Perkara ini adalah kerana kerajaan negeri terikat dengan pewartaan kawasan tanaman padi untuk jaminan makanan negara,” katanya.

— BERNAMA