KUALA LUMPUR — Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Khas Menteri-menteri Tenaga Kerja Asean dan Persidangan Singapura mengenai Masa Depan Kerja yang akan diadakan di Singapura, esok (29 April) .
Kementerian Sumber Manusia, dalam satu kenyataan hari ini, berkata Kula Segaran dijadual mempengerusikan sesi itu dan mengambil bahagian sebagai salah seorang anggota panel semasa persidangan tersebut.
“Kula Segaran dijangka berucap mengenai peranan tripartisme dan bagaimana ia mempunyai kaitan dengan perlindungan sosial, jaminan buruh sejagat dan perwakilan kolektif.
“Menteri itu mempengerusikan Sesi Khas Menteri-menteri Tenaga Kerja Asean atas kapasiti beliau sebagai pengerusi Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga Kerja ASEAN sekarang,” katanya.
Sesi khas dan persidangan itu dijangka menghimpunkan lebih 100 delegasi terdiri daripada Menteri tenaga kerja dan pegawai dari negara-negara anggota ASEAN, Australia, China, India, Jepun, Mongolia, New Zealand, Korea Selatan, Timor Timur serta ketua-ketua industri dan ahli akademik, kata kenyataan itu
“Sidang khas itu juga akan menyaksikan pemeteraian Pernyataan Menteri-menteri Tenaga Kerja ASEAN mengenai Masa Depan Kerja untuk Sesi Khas Menteri-menteri Tenaga Kerja ASEAN,” kata kenyataan itu.
Semasa lawatan tersebut, Kula Segaran akan membuat kunjungan hormat kepada Menteri Tenaga Kerja Singapura, Josephine Teo dan diberi taklimat mengenai pengurusan pekerja asing serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja oleh para pegawai kanan kementerian.
“Menteri itu dijangka diberi taklimat mengenai pembangunan sumber manusia, khususnya mengenai program berkaitan peningkatan kemahiran pekerja sejajar dengan Revolusi Industri 4.0 oleh Dana Pembangunan Kemahiran,” katanya.
Selain melakukan kunjungan hormat kepada rakan sejawatannya dari Singapura, Kula Segaran juga dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) Guy Ryder dan Datuk Seri Setia Dr Awang Abu Bakar Apong dari Brunei Darussalam.
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Amir Omar, pegawai, pegawai kanan dari Kementerian dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura juga akan hadir.
— BERNAMA