Home English News Kula Segaran ketuai delegasi Malaysia ke Geneva, Switzerland

Kula Segaran ketuai delegasi Malaysia ke Geneva, Switzerland

1088
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi 108 Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) di Geneva, Switzerland untuk membincangkan pengangkatan dan penyeliaan pemakaian standard buruh antarabangsa.

Acara tahunan itu yang dianjurkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berlangsung dari 10 hingga 21 Jun.

Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan hari ini berkata delegasi tersebut mewakili kerajaan yang diwakili para pegawai kerajaan dari kementeriaan itu, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) sebagai wakil majikan, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Malaysia (MTUC) dan Kongress Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) selaku wakil pekerja.

#TamilSchoolmychoice

“Delegasi Malaysia akan menghadiri sesi pleno, forum khas selain tiga jawatankuasa teknikal iaitu Jawatankuasa Pemakaian Standard, Jawatankuasa Penetapan Standard mengenai Keganasan dan Gangguan dalam Dunia Pekerjaan dan sebuah lagi jawatankuasa yang dinamakan ‘Committee of the Whole on the Centenary Outcome Document’,” kata kenyataan itu.

Kula Segaran dijangka akan menyampaikan kenyataan pada sesi sidang pleno mengenai inisiatif-inisiatif dan kemajuan yang telah dicapai oleh negara dalam menegakkan standard buruh antarabangsa, khususnya dalam bidang pekerjaan baik dan memberi komen kepada laporan Suruhanjaya Global Mengenai Masa Depan Pekerjaan.

Beliau juga dijangka berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Kumpulan Asia Pasifik tentang tajuk Masa Depan Pekerjaan dan mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan sejawatan beliau dari ASEAN pada Mesyuarat Sarapan Pagi Menteri-Menteri Buruh ASEAN.

Menteri itu juga dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan sejawatan beliau dari negara-negara Kesatuan Eropah untuk membincangkan isu-isu yang mempunyai kepentingan bersama terutama mengenai Pendidikan dan Latihan dalam bidang Teknikal dan Vokasional.

Kula Segaran juga dijadual mengambil bahagian dalam lawatan kerja ke Pusat Latihan ILO di Turin, Itali yang bertujuan untuk membincangkan kemungkinan mengadakan kerjasama dalam meningkatkan Institut Analisis dan Maklumat Pasaran Kerja di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk menjadi hab bagi pembinaan keupayaan program-program berkaitan bidang pekerjaan di rantau Asia.

“Untuk menunjukkan komitmen Malaysia dalam menegakkan standard-standard buruh antarabangsa, selain untuk mencerminkan keseriusan negara dalam mempromosikan pekerjaan yang baik di peringkat nasional, menteri itu juga dijangka menandatangani Memorandum Persefahaman Program Negara Mengenai Pekerjaan Baik antara MEF, MTUC dan ILO,” katanya.

Persidangan yang diadkaan lebih seratus tahun itu dijangka menghimpunkan perwakilan dari 187 negara anggota selain ketua-ketua negara dari 36 negara pada mesyuarat peringkat tinggi sesi sidang pleno.

— BERNAMA