Home English News Hanya tinggal 23 ekor harimau Malaya di Royal Belum dan Temenggor

Hanya tinggal 23 ekor harimau Malaya di Royal Belum dan Temenggor

1544
0
SHARE
Ad

GERIK: Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNPk) menganggarkan hanya terdapat 23 ekor Harimau Malaya mendiami Hutan Simpan Royal Belum dan Hutan Simpan Temenggor di sini.

Pengurus Besarnya Mohamed Shah Redza Hussein berkata bilangan berkenaan berkurangan sebanyak 60 peratus daripada jumlah keseluruhan iaitu lebih 60 ekor yang pernah direkodkan pada tujuh tahun lalu.

Beliau berkata ancaman utama yang menyebabkan populasi harimau itu berkurangan adalah berpunca daripada pemburuan haram yang dipercayai dilakukan oleh kebanyakan rakyat negara luar khususnya dari Vietnam, Laos dan Kemboja.

#TamilSchoolmychoice

“Kalau kita tidak ambil tindakan dari sekarang, sudah pasti dalam masa dua atau tiga tahun daripada sekarang, kita akan hanya ada kurang 10 ekor. Populasi ini tidak mencukupi untuk membuat pembiakan harimau.

“Sekiranya perkara ini terjadi, bermakna dalam masa enam atau tujuh tahun akan datang kita akan hilang atau pupus Harimau Malaya terutama di Hutan Simpan Royal Belum dan Hutan Simpan Temenggor,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sambutan Hari Harimau Sedunia di Dataran Inai, di sini, hari ini.

Mohamed berkata beliau turut mengakui kegiatan tidak bermoral itu turut berlaku secara terancang disebabkan ia didalangi oleh orang tempatan.

“Pemburu haram luar ini mendapat bantuan daripada orang tempatan. Mereka (orang tempatan) ini sediakan perkhidmatan logistik dan makanan disebabkan pemburu-pemburu ini terpaksa duduk lama dalam hutan untuk melakukan pemburuan,” katanya.

Beliau berkata bagi menangani pemburuan haram, pihaknya bersama Jabatan Perhilitan Negeri Perak sedang giat melakukan langkah pemantauan dan penguatkuasaan secara menyeluruh di hutan berkenaan dengan menambah anggota rondaan daripada 16 orang tahun lalu kepada 32 orang untuk tahun ini dan menambah lagi jumlah berkenaan kepada sekurang-kurangnya 50 orang selepas ini.

“Kita juga sedang berbincang dengan kerajaan negeri untuk mempertingkatkan keupayaan teknikal termasuk penyediaan peralatan canggih serta latihan khusus kepada kakitangan demi memastikan negeri Perak bebas daripada pemburu haram,” katanya.

Mengulas mengenai sambutan Hari Harimau Sedunia yang berlangsung, beliau berkata ia merupakan program penting dalam memberi maklumat dan kesedaran kepada masyarakat untuk menghargai Harimau Malaya sebagai salah satu khazanah negara.

Sambutan itu turut dimeriahkan dengan keberangkatan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah, Raja Kecil Besar Raja Azlan Muzzaffar Shah dan Puteri Sultan Perak Raja Nazira Safya selain kehadiran selebriti tempatan Maya Karin.

— BERNAMA