Home English News JKM sedia beri bantuan kaunseling kepada keluarga Nora Anne

JKM sedia beri bantuan kaunseling kepada keluarga Nora Anne

775
0
SHARE
Ad

PUTRAJAYA: Kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedia memberikan bantuan kaunseling kepada keluarga remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, yang hilang sebelum ditemui mati pada Selasa tidak jauh dari resort penginapan keluarganya di Pantai, Negeri Sembilan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata pihaknya juga memahami jika keluarga tersebut memerlukan ruang untuk menerima berita berkenaan.

“Kami bersedia membantu dari segi kaunseling. Kaunselor JKM sudah bersiap sedia di Seremban sejak anggota keluarganya tiba di hospital semalam,” katanya dalam sidang media mengenai anugerah khas keluarga sempena bulan kebangsaan di lobi KPWKM di sini hari ini.

#TamilSchoolmychoice

Mengucapkan takziah kepada keluarga Quoirin dengan berita tersebut, Yeoh turut menyeru orang awam tidak membuat sebarang spekulasi dan menunggu pengumuman pihak polis mengenai keputusan bedah siasat kes berkenaan.

Nora Anne disedari hilang dari bilik penginapannya di resort itu oleh keluarganya pada 8 pagi, 4 Ogos. Remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini.

Mayat remaja Ireland itu ditemukan di kawasan lurah 2.5 kilometer dari resort penginapan keluarga tersebut pada Selasa oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat.

— BERNAMA