Home English News SPRM tidak buka siasatan kes lama kerajaan terdahulu, kecuali ada bukti baharu

SPRM tidak buka siasatan kes lama kerajaan terdahulu, kecuali ada bukti baharu

58
0
SHARE

PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan membuka siasatan kes-kes lama yang melibatkan pemerintahan kerajaan terdahulu, kecuali jika ada bukti baharu ditemui untuk meneruskan siasatan.

Pengarah Siasatannya Datuk Norazlan Mohd Razali berkata sekiranya terdapat kes lama yang dibuka semula, ia mestilah berdasarkan maklumat baharu kes kepada SPRM.

“Maka tidak timbul isu dalam hal ini, kami akan membuat siasatan kes tidak kira sama ada kerajaan terdahulu atau kerajaan baharu,” katanya kepada Bernama di Ibu Pejabat SPRM, di sini.

Semasa mengulas sama ada SPRM akan membuka siasatan kes melibatkan kerajaan terdahulu, Norazlan berkata pihaknya menjalankan siasatan kes mengikut polisi dan mengikut lunas undang-undang.

Sementara itu semasa diminta mengulas mengenai perbandingan kes rasuah antara sektor awam dan sektor swasta, Norazlan berkata berdasarkan statistik tangkapan, sektor awam mencatatkan kes rasuah lebih tinggi khususnya melibatkan bahagian penguatkuasaan dan perolehan.

“Seramai 702 penjawat awam ditahan atas pelbagai kesalahan rasuah bagi tempoh tahun 2019 sehingga 30 Jun tahun ini.

“Jumlah berkenaan bersamaan dengan 46.9 peratus daripada keseluruhan tangkapan berjumlah 1,496 manakala tangkapan yang melibatkan kategori lain-lain termasuk sektor swasta adalah berjumlah 390 bersamaan 26.1 peratus,” katanya.

Norazlan berkata walaupun peratusan tangkapan melibatkan sektor swasta lebih rendah berbanding peratusan tangkapan sektor awam, namun jumlahnya masih dianggap tinggi.

— BERNAMA

Comments