Home English News PSMB lancar “HRDF Placement centre” untuk menyediakan lebih 50,000 peluang pekerjaan

PSMB lancar “HRDF Placement centre” untuk menyediakan lebih 50,000 peluang pekerjaan

827
0
SHARE
Ad

Portal sehenti pertama seumpamanya yang bertujuan menyatukan majikan, calon pekerja, penyedia latihan dan jurulatih kerjaya untuk memenuhi keperluan peningkatan modal insan negara

Kuala Lumpur – Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) menyasarkan untuk menyediakan lebih 50,000 peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan kepada rakyat Malaysia pada tahun 2021 menerusi HDRF Placement Centre (HPC), yang dilancarkan pada hari Selasa (April 6).

Portal sehenti ini adalah yang pertama seumpamanya di negara ini yang akan memadankan majikan dari pelbagai industri dan sektor dengan calon pekerja yang tepat untuk mengisi kekosongan jawatan dengan segera, menawarkan peluang latihan serta peningkatan kemahiran kepada pekerja untuk mengatasi jurang kemahiran tenaga kerja, di samping memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk berhubung dengan barisan jurulatih dan pelatih dari pelbagai latar belakang untuk mendapatkan bimbingan dan nasihat kerjaya.

#TamilSchoolmychoice

HPC dilancarkan secara rasmi oleh Yang Berhormat Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan bersama Menteri Kewangan, Yang Berhormat Senator, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan disaksikan oleh Pengerusi PSMB, Datuk Jamil Salleh dan Ketua Eksekutif PSMB, Datuk Shahul Hameed Dawood.

Datuk Seri M. Saravanan ketika berucap pada majlis tersebut berkata, HPC merupakan satu inisiatif yang melengkapi usaha kementerian untuk menangani cabaran pengangguran yang dihadapi oleh negara kesan daripada COVID-19.

“Dengan penempatan segera, rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang, kemahiran dan pengalaman akan dapat memperoleh sokongan dan bimbingan yang diperlukan untuk memulakan dan membina perjalanan kerjaya mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Datuk Shahul Hameed menyatakan, PSMB merasa berbangga kerana dapat mengumpulkan kesemua rakan strategik, majikan, penyedia latihan dan jurulatih kerjaya dalam satu platform untuk menangani kekurangan tenaga kerja pada masa kini di samping menampung keperluan pekerjaan Negara untuk jangka panjang.

“Saya yakin bahawa HPC akan mencapai sasaran untuk mencipta 50,000 peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan pada tahun ini. Ini kerana, pada masa ini, calon dapat mengakses lebih 19,000 pekerjaan di HPC. Selain itu, kami berhasrat untuk menjadikan HPC sebagai pusat bagi tenaga kerja Malaysia untuk mempertingkat kemahiran dan pengetahuan mereka, di samping memastikan majikan tidak hanya mencipta peluang baru, tetapi juga mendapatkan tenaga kerja terbaik yang sesuai dengan keperluan perniagaan dan industri mereka, sekali gus menjadikan HPC sebagai sumber yang sangat baik untuk meningkatkan aspirasi pengembangan modal insan Malaysia dalam jangka panjang,” katanya.

Setakat ini, lebih daripada 200 calon telah berjaya mendapatkan penempatan pekerjaan di beberapa syarikat dan organisasi terkemuka melalui HPC. Acara penyerahan surat tawaran pekerjaan oleh syarikat dan organisasi yang terlibat kepada HPC menerusi Ketua Eksekutif PSMB ini disaksikan Datuk Seri M. Saravanan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul dan Datuk Shahul Hameed.

Rakyat Malaysia yang ingin mengakses pelbagai peluang perkhidmatan, pekerjaan dan peluang menjana pendapatan dari HPC boleh melayari https://hpc.hrdf.com.my/.