Home English News Inkues Adib: Korener, pihak terlibat lawat lokasi kejadian

Inkues Adib: Korener, pihak terlibat lawat lokasi kejadian

176
0
SHARE

SHAH ALAM: Prosiding hari kedua inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim bermula dengan Koroner Rofiah Mohamad melawat lokasi kejadian rusuhan berhampiran Kuil Sri Mahamariamman di USJ25, Subang Jaya dekat sini, hari ini.

Beliau tiba kira-kira 11.20 pagi bersama beberapa pihak berkepentingan dan tiga saksi dalam kes itu  yang mendapat liputan meluas pihak media.

Mereka disertai oleh pegawai-pegawai pengendali inkues, timbalan pendakwa raya Hamdan Hamzah, Faten Hadni Khairuddin dan Zhafran Rahim Hamzah.

Turut hadir pasukan peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib serta peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Majlis Peguam.

Saksi kedua inkues, Md Elliza Mohd Noor kemudian dilihat memberi keterangan kepada koroner dan pihak terlibat di lokasi kebakaran kereta di tepi jalan berhampiran kuil.

Pemandu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya itu juga dilihat memberi  keterangan di satu lokasi berhampiran kuil.

Kira-kira 50 pengamal media turut berada di lokasi berkenaan.

Pasukan prosiding inkues akan menuju ke Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya selepas ini bagi mendapatkan gambaran jelas tentang kejadian tersebut.

-BERNAMA

Comments