Home English News Perangi jenayah: PDRM kemaskan sistem operasi dan siasatan

Perangi jenayah: PDRM kemaskan sistem operasi dan siasatan

772
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Menyedari hakikat bahawa cabaran jenayah masa kini semakin kompleks dan penjenayah semakin licik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengorak langkah memperkemaskan lagi sistem operasi dan siasatan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata seiring dengan kemajuan teknologi semasa, penggunaan Sistem Biometric Portrait Character (BPC)/ Face Recognition dilihat amat berkesan dalam membantu PDRM mengenal pasti serta mengesahkan identiti pelaku jenayah.

“PDRM juga amat berbangga kerana mempunyai Pusat Pendaftaran Penjenayah (D2) yang merupakan agensi tunggal di negara untuk menyimpan rekod-rekod penjenayah Malaysia dan Singapura,” katanya ketika menyampaikan perutusan sempena Perbarisan Hari Polis Ke-212 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.

#TamilSchoolmychoice

Turut hadir ialah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Peguam Negara Tommy Thomas.

Dalam perutusannya, Mohamad Fuzi turut berkongsi kejayaan pasukan keselamatan itu dalam membanteras kegiatan jenayah di negara ini dan memberitahu bahawa sepanjang 10 tahun iaitu dari 2009 hingga 2018 kadar atau trend indeks telah mencatatkan penurunan sebanyak 58.3 peratus.

“Berdasarkan nilai ambang yang ditetapkan bagi Januari hingga 19 Mac, indeks jenayah yang direkodkan adalah sebanyak 17,905 kes. Pencapaian cemerlang ini diterjemah sebagai penurunan sebanyak 1,308 kes atau 6.8 peratus,” katanya.

Beliau berkata sejak tahun 2013 sehingga 20 Mac lepas, seramai 464 elemen Daesh telah ditangkap melibatkan rakyat tempatan dan asing.

Selain itu, pada tahun lepas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik turut berjaya membongkar 35 makmal haram, berbanding 19 makmal pada tahun 2017, katanya.

Bagi tempoh Januari sehingga 15 Mac pula jumlah kes bagi pelbagai jenayah kesalahan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) ialah sebanyak 56 kes berbanding 91 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas, manakala jumlah tangkapan ialah 72 orang.

Sementara itu, beliau berkata PDRM telah mengambil tindakan segera terhadap beberapa pihak yang dikesan sengaja mengeluarkan kenyataan jelik berhubung isu-isu melibatkan sensitiviti agama, kaum dan Institusi Raja-Raja Melayu.

Seramai empat pemilik akaun media sosial telah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memuat naik komen berbentuk penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW dan tangkapan turut dilakukan ke atas seorang individu yang memuat naik komen jelik terhadap agama Hindu, katanya.

— BERNAMA