Home English News Pengajaran dan pembelajaran ‘Fun Learning’ di SJKT Sungai Ara

Pengajaran dan pembelajaran ‘Fun Learning’ di SJKT Sungai Ara

1312
0
SHARE
Ad

GEORGE TOWN: Memberanikan diri untuk keluar dari kelaziman, guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Ara, dekat sini mengambil risiko dengan menerapkan ‘fun learning’ (kegembiraan waktu belajar) dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu.

S. Sangga, 57, berkata walaupun diterapkan ‘fun learning’ di sekolah, namun ia tidak bertentangan dengan dasar yang  ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

Tidak membebankan 130 muridnya dengan kerja rumah (homework) yang banyak, Sangga sebaliknya menekankan pembelajaran secara ‘hands on’ dan praktikal yang dilihat lebih berkesan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka.

#TamilSchoolmychoice

“Sebab sekolah ini dikelilingi dengan peralatan permainan termasuk yang kita lukis di lantai seperti permainan teng teng, dam ular dan banyak lagi. Murid dah ada di sekolah seawal pukul 6.30 pagi walaupun waktu persekolahan bermula pukul 7.40 pagi.

“Mereka boleh baca, boleh layari internet di komputer yang kami letakkan di luar bilik darjah. Kalau di rumah tiada akses internet mereka boleh dapat di sini. Sebab itu ICT kami top, sebuah sekolah yang mempunyai pencapaian tertinggi. Ini khas untuk murid, masa cuti sekolah pun mereka boleh datang dengan syarat ada ibu bapa,” katanya kepada Bernama.

Sangga berkata, sejak beliau dipindahkan ke sekolah itu pada April 2011, beliau mengakui membuat banyak perubahan terutamanya melibatkan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Ditanya sama ada para guru di sekolah berkenaan sukar untuk mengikut rentaknya, beliau berkata 13 guru di sekolah itu tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan caranya.

“Semua guru boleh ikut cara saya sebab saya dah kurangkan kerja mereka, guru tak ada kerja banyak. Di sekolah ini kami tekankan pembelajaran secara kendiri. Murid akan menerangkan topik yang diberikan oleh guru kepada murid lain. Dari situ mereka lebih faham. Kalau mereka belajar secara berkumpulan lagi cepat faham,” katanya.

Beliau turut mengarahkan guru agar tidak hanya menjalankan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah malah boleh membawa murid keluar untuk meneroka dan belajar dari apa yang mereka lihat.

“Setiap Jumaat kita akan bawa murid keluar berjalan-jalan di kawasan sekitar sekolah dan dari situ mereka boleh belajar nilai-nilai murni dan terokai apa yang ada di sekeliling mereka. Pada Sabtu pula kita bawa murid pergi kutip sampah di kawasan terpilih, mereka jadi ‘trash hero’. Tapi yang ini atas pilihan mereka sendiri ,kami tidak paksa,” katanya.

Sangga berkata, disebabkan sekolah itu mempunyai aktiviti yang banyak beliau terpaksa memaklumkan aktiviti yang akan dijalankan di dalam kumpulan Whatsapp bersama ibu bapa kerana kesemua murid sangat teruja dan berminat dengan aktiviti yang dijalankan.

Beliau tidak mahu memberi bebanan kepada ibu bapa untuk hantar anak mereka ke sekolah bagi mengikuti aktiviti yang dijalankan.

“Ada murid tu sampai marah ibu bapa mereka kerana tak beritahu sekolah ada aktiviti, sampai satu tahap ada yang nak lari dari rumah kalau ibu bapa tak bagi sertai aktiviti itu. Sampai begitu sekali murid sangat seronok dengan aktiviti yang dijalankan,” katanya.

Sekolah itu juga tidak menggred murid berdasarkan markah dalam peperiksaan sebaliknya semua pelajar akan mendapat  hadiah berdasarkan bakat dan pencapaian akademik mereka.

Dalam pada itu, Sangga berkata sekolah itu turut menjalankan aktiviti penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar bagi mewujudkan suasana sekolah yang lebih selesa dan menyeronokkan.

Setakat ini, sekolah itu berjaya mencapai sembilan daripada 17 matlamat di bawah ‘United Nations Sustainable Development Goals’ dalam usaha mendidik murid mencintai dan menjaga alam sekitar.

Menurut beliau, murid diajar untuk tidak menggunakan plastik dan mengutip barang yang boleh dikitar semula.

“Sekolah ini tidak ada plastik, kami ‘ban’ penggunaan plastik di sekolah ini. Kalau ada plastik murid diajar untuk mengumpulnya dan masukkan ke dalam botol untuk dijadikan ‘eco-brick’. Di sini juga junk food dan fast food tidak dibenarkan. Perkara ini bukan sahaja dipraktikkan di sekolah malah murid ini turut mengajar ibu bapa mereka untuk buat perkara yang sama di rumah,” katanya.

Beliau turut mengajar murid di sekolah itu bercucuk tanam dan sekolah berkenaan mempunyai kebun yang mempunyai tanaman pokok pisang, bunga dan sebagainya sehingga mendatangkan pendapatan kepada sekolah itu dengan anggaran keuntungan RM600 sebulan.

Bagaimanapun, kebun itu kini tidak mengeluarkan hasil yang banyak seperti dulu dan ia juga digunakan untuk menjalankan aktiviti lain.

Ditanya mengenai harapannya terhadap sekolah itu memandangkan beliau akan bersara dalam tempoh tiga tahun akan datang, Sangga berkata beliau tidak mengharapkan penggantinya untuk melakukan perkara sama, namun beliau berharap murid dan guru dapat mengekal dan mengamalkan apa yang telah dipraktikkan selama ini.

— BERNAMA