Home English News Bas Smart Selangor beri manfaat kepada 38.6 juta pengguna

Bas Smart Selangor beri manfaat kepada 38.6 juta pengguna

1224
0
SHARE
Ad

KLANG: Perkhidmatan Bas Smart Selangor yang diperkenalkan secara percuma sejak Julai 2015 telah memberi manfaat kepada 38.6 juta pengguna menerusi 41 laluan di seluruh negeri itu, kata Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han.

Beliau berkata sebanyak RM78.6 juta juga telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri sejak perkhidmatan percuma itu mula dilaksanakan hingga 31 Julai lepas iaitu mencakupi kos operasi dan penyelenggaran lebih 130 buah bas yang digunakan setiap hari.

Ng berkata inisiatif berkenaan diperkenalkan dan diteruskan sehingga kini demi membantu perbelanjaan perjalanan harian rakyat selain untuk mencapai hasrat kerajaan negeri menggalakkan penggunaan pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian menjelang 2035.

#TamilSchoolmychoice

“Daripada 41 laluan tersebut, dua adalah laluan baharu yang ditambah operasinya hari ini di kawasan Majlis Perbandaran Klang (MPK) melibatkan penggunaan enam buah bas.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan Bas Smart Selangor di kawasan MPK adalah 14 buah dan kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM1.2 juta setahun atau RM800 sehari bagi membiayai perkhidmatan percuma di lokasi itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bas Smart Selangor Laluan KLG3 dan KLG4, di sini hari ini.

Laluan baharu bas percuma KLG3 akan melalui Taman Sri Andalas, Kampung Jawa dan bandar Klang manakala laluan bas KLG4 memberi khidmat kepada pengguna dari Klang Sentral, Meru hingga ke pekan Kapar.

Sebelum ini, perkhidmatan Bas Smart Selangor di Klang hanya beroperasi di dua laluan iaitu KLG1 dan KLG2 dengan setiap laluan masing-masing mempunyai empat bas.

Bas KLG1 meliputi laluan bandar Klang, Jalan Stesen, Jalan Istana, Persiaran Raja Muda Musa, Jalan Kim Chuan, Jalan Batu Unjur, Persiaran Ampuan Rahimah dan Jalan Raya Barat.

Manakala bas KLG2 pula melalui Bandar Klang, Jalan Pasar, Leboh Tapah, Jalan Pekan Baru, Jalan Meru, Jalan Bahagia dan Jalan Haji Sirat

Justeru, beliau berharap dengan penambahan laluan baharu itu, masyarakat di Klang dapat menggunakan sepenuhnya perkhidmatan percuma berkenaan yang mesra golongan kelainan upaya selain dilengkapi kemudahan selesa seperti kamera litar tertutup (CCTV) dan WiFi.

— BERNAMA