CAMERON HIGHLANDS — Kementerian Sumber Manusia akan memperluaskan Program Bersiri Kementerian Sumber Manusia Bersama Rakyat (Kaunter Khidmat Rakyat) dalam usaha untuk membawakan perkhidmatan yang disediakan oleh agensi di bawah kementerian itu dekat kepada rakyat.
Menterinya, M. Kula Segaran berkata, menerusi cara itu rakyat akan dapat menyalurkan sebarang aduan dan masalah selain mendapatkan info terkini mengenai perkhidmatan kementerian tanpa perlu hadir ke Putrajaya mahupun ke bandar-bandar utama.
“Konsep yang sama saya telah minta pengurusan tertinggi kementerian sediakan di ibu pejabat di Putrajaya setiap hari Selasa pada sebelah pagi… menerusi program ini kita libat enam agensi di bawah kementerian selain dua buah agensi lain untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat. Ia termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh), Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), Jabatan Tenaga Manusia (JTM),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Bersiri Kementerian Sumber Manusia Bersama Rakyat di Pasar Awam Brinchang di sini semalam yang turut dihadiri oleh calon Pakatan Harapan (PH) yang akan bertanding di Parlimen Cameron Highlands M Manogaran.
Selain di Brinchang, program yang sama akan diadakan di Pasar Awam Ringlet pada hari ini.
Kula Segaran berkata program berkenaan adalah antara pembaharuan yang dijanjikan olehnya terhadap semua pihak yang berkepentingan dengan kementerian.
“Sebagai kerajaan saya merasakan sudah tiba masanya rakyat tampil ke hadapan dan kami memberikan perkhidmatan serta layanan yang terbaik kepada mereka yang memerlukannya.
“Kita mahu jadikan Malaysia sebagai sebuah role model di rantau ini dan perkembangan positif ini seharusnya membuka lebih banyak ruang kepada rakyat untuk meningkatkan pendapatan berkapita mereka.
Beliau turut berharap program yang diadakan di Berinchang dan Ringlet itu akan memberi peluang kepada majikan di kawasan peranginan itu untuk mendaftar mana-mana pekerja asing mereka sebelum dilakukan penguatkuasaan.
— BERNAMA