Home English News Raja Zarith berkongsi kenangan manis Krismas dan persahabatan

Raja Zarith berkongsi kenangan manis Krismas dan persahabatan

1197
0
SHARE
Ad

JOHOR BAHRU — Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah (gambar) berkongsi kenangan manis baginda sebagai seorang wanita Muslim yang tinggal dalam kalangan komuniti Kristian semasa remajanya, selaras dengan ketibaan sambutan Krismas esok.

Baginda bertitah, kenangan manis mengenai Krismas sering  kembali mengusik jiwanya setiap kali baginda menjejakkan kakinya di England.

“Kenangan itu tiada kena mengena dengan agama Kristian, tapi lebih kepada persahabatan yang terjalin dengan gadis-gadis Inggeris yang menyambut mesra kehadiran saya di kalangan mereka tanpa mempersoalkan agama atau bangsa saya,” titahnya.

#TamilSchoolmychoice

“Saya juga teringat diberi tanggungjawab menghiasi pokok Krismas di asrama kami, bukan kerana ketua asrama  mahukan saya menyimpang dari kepercayaan agama saya, tapi kerana dia menganggap saya sebagai salah seorang yang memiliki kemahiran artistik dan kreatif dalam kalangan gadis-gadis di bawah jagaannya,” titahnya dalam laman web rasmi keluarga Diraja Johor di sini hari ini.

Raja Zarith turut menceritakan bagaimana baginda menyimpan tasbihnya di bawah pantal, dan bersama Al-Quran miliknya, kedua-duanya sentiasa mengingatkan baginda kepada kampung halaman dan agamanya.

Permaisuri Johor juga bertitah baginda menemui tiga rakan Inggeris di restoran Malaysia di England baru-baru ini, di mana  baginda memberikan mereka kad ucapan Krismas dan juga hadiah seadanya.

“Kami saling berpelukan dan berjanji akan bertemu kembali. Sebaik tiba di rumah pesanan-pesanan mereka mulai tiba di telefon saya. Saya senyum, teramat gembira semasa saya memakai telekung untuk mengerjakan solat Isya’,” titah baginda.

Permaisuri Johor turut mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana memberikannya kenangan indah yang takkan dapat  dilupakan, kerana persahabatan yang terjalin sejak berdekad lamanya, dan kepada segala rahmat yang dikurniakan  kepada  baginda dan kerluarga.

“Dan sejak beberapa malam lepas, saya melihat bulan penuh dan sentiasa terpegun dengan keindahan ciptaannya. Adakah saya  sudah lupa mengenai Allah SWT, lupa diri sebagai seorang  Muslim, semata-mata kerana saya berada di London beberapa hari sebelum Krismas? Jawapannya: ‘Tidak’.

“Semasa saya berjalan-jalan di London yang dibanjiri orang ramai yang sibuk membeli hadiah-hadiah Krismas buat sanak saudara, atau pelancong seperti saya menikmati cuaca sejuk  mengagumi kota London, saya terfikir alangkah indahnya jika semua dapat turut sama menyaksikan kecantikan cahaya gemerlapan dan menghayati melodi lagu-lagu  Krismas  dinyanyikan kumpulan koir di hampir setiap sudut yang ada.” katanya.

Permaisuri Johor berkata setiap orang berhak menyambut cuti perayaan.

“Sebelum saya kembali ke tanah air, saya menjadi salah seorang daripada para ibu yang sibuk mencari-cari hadiah dan dekorasi rumah. Adakah ia kerana saya menyambut Hari Krismas? Tidak. Ia kerana putera kedua saya dilahirkan pada 25 Dis, dan setiap tiba hari keputeraan, pastinya perlu ada sambutan, anda setuju?

“Tuanku Sultan Johor, keluarga saya dan saya ingin mengucapkan kepada semua yang menyambut Hari Krismas, Selamat Hari Krismas dan sambutlah dengan kenangan manis bersama keluarga dan sahabat handai, dan kepada semua raykat Malaysia – kekalkan keamanan dan perpaduan,” titah baginda.

— BERNAMA