KUALA PILAH: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir hari ini menyarankan agar institusi dan fakulti pengajian serta persatuan menjalankan kajian serta catatan yang berkaitan sejarah, adat-istiadat dan tamadun Melayu.
Baginda bertitah, sebagai contoh, Istiadat Menghadap Bagi Menzahirkan Kejadian Undang merupakan sebahagian daripada adat-istiadat Negeri Sembilan yang telah diamalkan turun-temurun dan perlu dijaga serta dikekalkan sama seperti adat-adat lain yang terkandung dalam Adat Perpatih.
“Beta amat menggalakkan kajian dan catatan dibuat berkaitan dengan adat-adat yang diamalkan kerana rujukan mengenai adat-istiadat yang dihasilkan oleh anak-anak tempatan amat berkurangan.
“Rujukan pada masa ini masih lagi bergantung kepada para penulis sejarah Inggeris seperti Richard Wilkinson, J.M. Gullick, M.B. Hooker dan lain-lain lagi,” titah baginda pada majlis menyempurnakan Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu Ke-16 Datuk Maarof Mat Rashad, di Istana Besar Seri Menanti di sini.
Turut berkenan mencemar duli Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Tuanku Muhriz turut menyeru agar rakyat di Luak Jelebu dan di semua Luak Berundang serta Luak Tanah Mengandung untuk bersama-sama dengan kepimpinan Adat bagi memperkemas serta melaksanakan segala urusan dan tanggungjawab adat dengan baik.
“Hormati dan junjunglah sistem serta nilai adat yang kita warisi sejak zaman berzaman dengan berpegang teguh kepada perbilangan ‘Anak Buah Berbuapak, Suku Berlembago, Luak Berpenghulu, Alam Berajo’.
“Di samping itu, peliharalah tali persaudaraan dan hubungan baik antara satu sama lain ibarat bercincang berlandasan, melompek bertumpuan, air dicincang tidak akan putus,” titah baginda.
Istiadat itu dimulai dengan Undang Luak Jelebu tampil menghadap menjunjung duli dan melafazkan sembah taat setia disusuli acara Tuanku Muhriz menaburkan titah kejadian.
Maarof diumumkan sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 dalam satu istiadat pada 20 Dis 2018 bagi menggantikan Undang Luak Jelebu ke-15, Datuk Musa Abdul Wahab yang meninggal dunia pada 11 Sept 2014.
— BERNAMA