Home English News MB Kedah disaran letak jawatan- V.Sivakumar

MB Kedah disaran letak jawatan- V.Sivakumar

1006
0
SHARE
Ad

Kenyataan Media bertarikh 04 Disember 2020, oleh V. Sivakumar, ahli Parlimen DAP Batu Gajah, Perak, berhubung isu perobohan kuil di Kedah 

Negara kita adalah terdiri daripada pelbagai etnik yang mempunyai kepentingan masing-masing dari segi agama, bahasa dan budaya. Ini tidak boleh dilihat sebagai satu kelemahan. Kepelbagaian ini adalah khazanah Malaysia yang perlu dihargai oleh semua pihak.

Kita hidup dalam keadaan satu keadaan yang cukup berbeza dengan kebanyakan negara-negara yang lain. Keistimewaan kita hidup dalam keadaan ‘unity in diversity’ adalah kekuatan yang perlu dibanggakan. Ini juga merupakan satu daripada faktor penarik kepada pelancong-pelancong asing melawat negara kita. Tetapi, ada pihak-pihak tertentu yang sentiasa mahu menimbulkan kacau-bilau dan memecah belahkan kaum.

Kementerian Perpaduan Negara sedang berusaha untuk menyemarak semangat perpaduan dan intergasi nasional. Tetapi, ada juga pemimpin-pemimpin politik yang mengetuai kerajaan yang tidak mempedulikan soal perpaduan langsung.

#TamilSchoolmychoice

Ucapan-ucapan berbaur perkauman dilemparkan tanpa mengambil kira sensitiviti terhadap kaum lain. Segala usaha Kementerian Perpaduan Negara akan menjadi sia-sia jika pemimpin-pemimpin terus berperangai sombong dan kurang ajar.

Baru-baru ini, ucapan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nur menjadi kontroversi apabila beliau terlibat dalam isu merobohkan kuil hindu. Ucapan beliau adalah berbaur perkauman dan menyakitkan hati penganut-penganut agama Hindu di seluruh negara.

Sikap angkuhnya membuktikan beliau tidak mempunyai kredibiliti untuk memimpin sebuah negeri yang terdiri daripada pelbagai kaum. Selain daripada itu, ucapan beliau yang menyentuh isu-isu sensitif berkaitan dengan agama boleh meruntuhkan keharmonian rakyat negara kita.

Dalam pada itu, beliau juga membuat cabaran dan ugutan terhadap pihak yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan dan cara pentadbirannya. Oleh yang demikian, Menteri Besar Kedah harus disiasat dibawan Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan demi keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia.

Saya juga memohon kepada Menteri Perpaduan Negara untuk mengambil tindakan segera untuk meredakan keadaan sebelum berlaku apa-apa insiden yang tidak diingini oleh mana-mana pihak. Saya juga menuntut supaya Menteri Besar Kedah meletak jawatannya kerana beliau tidak lagi layak memerintah sebuah negeri berbilang kaum dengan sifat ekstrimisnya.