Home English News SPR kaji persempadanan semula kawasan pilihan raya diluluskan tahun lepas

SPR kaji persempadanan semula kawasan pilihan raya diluluskan tahun lepas

645
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mengkaji persempadanan semula kawasan pilihan raya yang diluluskan Dewan Rakyat tahun lepas, untuk melihat sama ada ia dilaksana secara adil dan mengikut undang-undang.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata ia juga bagi menganalisis kesan persempadanan semula itu kepada aspek seperti ekonomi, kepelbagaian kaum dan trend pengundian.

“Kita cuma nak kaji sama ada Parlimen boleh memutuskan untuk membatalkan yang lepas dan sama ada boleh pinda atau tidak kerana kalau ikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan memang tidak boleh kerana ia (persempadanan semula kawasan pilihan raya) hanya boleh dilaksana sekali dalam tempoh lapan tahun.

#TamilSchoolmychoice

“Sebab itu kita nak kaji, sekiranya tidak boleh, kita kaji pula kandungannya sama ada ia adil atau tidak dan seterusnya kami akan membuat cadangan sebagai hasil daripada kajian itu kepada Parlimen,” katanya selepas menjadi panel dalam program Laporan Susulan Perbincangan Meja Bulat Mengenai Reformasi Pilihan Raya di Parlimen hari ini.

Pada Mac tahun lepas, Dewan Rakyat meluluskan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya dengan 129 anggota Parlimen menyokong dan 80 lagi menolak, selepas pengundian dijalankan secara belah bahagian.

Berdasarkan laporan kajian persempadanan semula tersebut, 12 nama kawasan Parlimen dipinda manakala 28 kawasan lagi membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain itu, Azhar berkata pihaknya juga sedang meneliti berhubung soal pembiayaan politik dan kajian mengenainya sedang diperincikan.

Mengenai kaedah e-voting, beliau berkata terdapat dua jenis pengundian sedang diteliti SPR melibatkan pengundian dalam talian atau menggunakan mesin pengundian elektronik  yang memerlukan pengundi hadir ke pusat mengundi.

“Mesin pengundian elektronik ini dilihat lebih selamat kerana tidak menggunakan internet jadi tidak ada kemungkinan ia digodam.

“Tetapi kita perlu memastikan perisian digunakan tidak dimasukkan sebarang data yang boleh mengubah data mengundi itu,” katanya sambil menambah belum ada keputusan dibuat mengenai perkara itu.

— BERNAMA