Home English News MAICCI mahu isu peniaga asing di karnival diselesaikan

MAICCI mahu isu peniaga asing di karnival diselesaikan

125
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) menggesa kerajaan melihat secara serius isu peniaga asing di karnival jualan dalam negara yang dilihat menjejaskan peniaga tempatan.

Presidennya Datuk N. Gobalakrishnan berkata isu yang telah berlanjutan sejak 10 tahun lalu itu berleluasa tanpa sebarang tindakan.

“Kita bukan menentang mereka, namun apa yang menjadi persoalan ialah status peniaga itu sendiri. Kami maklum bahawa mana-mana peniaga yang menjalankan perniagaan dalam negara perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), mempunyai lesen premis perniagaan dan membayar cukai import dan sebagainya seperti kami.

“Namun peniaga asing dari India, Pakistan dan Bangladesh ini pula menyertai karnival sebegini tanpa melalui proses pelesenan dan pembayaran cukai yang tinggi. Ini jelas tidak adil kepada peniaga tempatan yang telah bertapak dalam negara sejak sekian lama,” katanya pada sidang media di pejabat MAICCI di sini, hari ini.

Gobalakrishnan dipercayai merujuk kepada Karnival Global Indian Festival anjuran Agenda Suria Communication Sdn Bhd yang sedang berlangsung di Pusat Pameran Mid Valley dan karnival lain di seluruh negara yang diadakan menjelang Deepavali.

Karnival itu dilihat mendapat penyertaan tinggi daripada peniaga asing dengan tawaran harga barang jauh lebih murah memandangkan mereka adalah peniaga secara borong.

Gobalakrishnan berkata pihaknya akan berjumpa dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara itu.

“Kami juga akan menyerahkan memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Kewangan, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Memorandum itu antara lain akan menyentuh mengenai status kemasukan peniaga asing itu, pembayaran cukai dan barang-barang luar negara yang dibawa masuk,” katanya.

Menurut peraturan sedia ada, Gobalakrishan berkata peniaga asing (yang tidak berdaftar dengan negara dilawati) hanya boleh mempamerkan barang-barang dan bukan untuk jualan, seterusnya mereka (peniaga asing) mencari usahawan tempatan menerusi pemadanan perniagaan.

“Inilah isu yang menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan peniaga. Usaha MAICCI ini bukan sahaja untuk melindungi peniaga India tempatan malah peniaga Melayu dan Cina yang turut terjejas menerusi kemasukan peniaga ‘haram’ ini… diharap tindakan sewajarnya diambil kerajaan untuk membendung masalah ini bagi menjaga kebajikan peniaga tempatan yang mengikut prosedur undang-undang,” katanya.

— BERNAMA

Comments