Home English News Pengguna jalan raya dinasihat lebih berwaspada di kawasan blackspot!

Pengguna jalan raya dinasihat lebih berwaspada di kawasan blackspot!

696
0
SHARE
Ad

SEREMBAN: Pengguna jalan raya diingatkan untuk lebih berwaspada di musim perayaan ini terutama di lokasi-lokasi yang dikenal pasti sebagai blackspot dan waktu puncak di antara pukul 12 tengah hari hingga 8 malam pada dua hari sebelum dan dan selepas hari perayaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan Supt Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata berdasarkan kajian ke atas tiga Op Selamat Tahun Baharu Cina, iaitu Op Selamat 8, 10 dan 12, statistik menunjukkan kemalangan di negeri ini banyak berlaku di waktu-waktu tersebut.

“Kemuncaknya adalah di antara pukul 4 petang hingga 6 petang. Statistik menunjukkan semasa Op Selamat 10, sebanyak 174 kemalangan dicatatkan pada waktu itu, tertinggi di antara waktu lain.

#TamilSchoolmychoice

“Antara 21 lokasi blackspot yang telah dikenal pasti ialah Jalan Seremban-Tampin, Jalan Seremban-Kuala Pilah, Jalan Bahau-Keratong, Jalan Nilai-Labu-Sendayan dan Jalan Lukut-Sepang,” katanya kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata anggota polis trafik akan kerap membuat rondaan di kawasan blackspot bagi memastikan pengguna jalan raya selamat dan kadar kemalangan dapat diturunkan.

Ibrahim berkata seramai 292 anggota trafik akan bertugas sepanjang Op Selamat 14 yang akan bermula pukul 12 tengah malam ini, dan berlangsung selama 15 hari, yang akan turut dibantu anggota dari Unit Rondaan Bermotor dan Unit Kereta Peronda Polis (MPV).

Beliau berkata statistik juga menunjukkan kereta paling banyak terlibat dengan kemalangan, diikuti motosikal, pacuan 4×4, lori dan treler.

Selain itu, Ibrahim berkata Op Lancar juga akan dilaksanakan pada dua hari sebelum dan selepas Tahun Baharu Cina, iaitu pada 3,4,9 dan 10 Februari, di mana anggota polis trafik akan ditempatkan di lokasi-lokasi yang kerap berlaku kesesakan.

“Pihak kami juga telah mengenal pasti jalan-jalan alternatif yang boleh dilalui pengguna jalan raya sekiranya berlaku kesesakan di laluan utama.

“Pengguna jalan raya boleh mengetahui dengan lebih lanjut tentang laluan alternatif ini di Facebook Polis Negeri Sembilan,” katanya.

-BERNAMA