KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia tidak akan berjaya sebagai sebuah negara maju sekiranya gagal mengimbangi pembangunan fizikal dengan pemeliharaan alam semula jadi dan mengekalkan persekitaran sedia ada.
Perdana Menteri berkata memelihara alam dan persekitaran semula jadi untuk generasi hari ini dan akan datang merupakan tanggungjawab persendirian serta kolektif, dan tanggungjawab itu perlu dilaksanakan secara berterusan dalam apa keadaan sekalipun.
“Kita telah melihat kesan akibat daripada pembangunan yang tidak teratur dan hanya menekankan faktor keuntungan semata-mata.
“Perlu kita sedari, usaha kita untuk menjadi sebuah negara maju tidak akan tercapai atau diiktiraf jika apa yang boleh kita perlihatkan adalah bangunan-bangunan pencakar langit tetapi sungai-sungai kita tercemar, hutan belantara kita hanya tinggal tanah yang tandus dan udara yang kita hirup teruk tercemar,” katanya berucap pada sambutan Hari Bumi di Taman Tugu, di sini, hari ini.
Dr Mahathir diiringi Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali. Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar.
— BERNAMA